Skip to main content

Bola Sepak

Cheng Hoe: Harimau Malaya sudah sedia

tch.jpg
"Pemain dalam keadaan cukup sempurna untuk bawa pulang tiga mata."

Itu reaksi ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, yang menganggap dia memiliki kekuatan terbaik untuk memecahkan dominasi skuad Indonesia di Gelora Bung Karno, Khamis ini.

Harapan yang disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, tidak dianggap sebagai tekanan oleh bekas pengendali Kedah itu.

Malah, dia tidak memiliki sebarang alasan memandangkan pilihan 23 pemain yang dibawa adalah barisan terbaik untuk menyempurnakan segala perancangannya di padang keramat Indonesia itu.

"Kami nampak pemain kali ini sangat bersatu hati untuk mendapatkan keputusan positif kerana semua orang tahu apabila bertandang ke Jakarta, terutamanya Gelora Bung Karno, ia bukan tugas mudah," katanya.

Indonesia membariskan beberapa nama yang tidak asing seperti Saddil Ramdani, Andik Vermansah serta Evan Dimas yang memiliki pengalaman dalam Liga Malaysia, selain Irfan Bachdhim yang pernah menjadi fenomena,10 tahun lalu.

Pengendali Indonesia, Simon McManemy, turut mengutamakan barisan pemain berpengalaman sebagai taruhan selain turut tampil dengan pemain naturalisasi seperti Victor Igbonefo, Stefano Lililapy, Alberto Goncalves dan Osas Saha.

"Media sosial sering menceritakan perang psikologi daripada mereka tetapi saya sering mengingatkan pemain agar fokus dengan aksi dan perlawanan sendiri sahaja," tambah Cheng Hoe.

Dalam masa sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan sekali lagi menghantar perutusan kepada Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia (Kemenpora) bagi mengingatkan rakan sejawat di sana untuk turut memainkan peranan memastikan keselamatan bukan sahaja pemain dan pegawai Malaysia, malah ratusan penyokong Harimau Malaya yang akan berada di Jakarta.

Seandainya berlaku insiden yang tidak diingini, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memperuntukkan 3,000 tiket untuk penyokong Malaysia bagi aksi Khamis ini, namun terdapat kerisauan membabitkan keselamatan berdasarkan rekod buruk tuan rumah menjamin keharmonian di Stadium Gelora Bung Karno.

"Saya rasa kami bersangka baik dan keyakinan kepada pihak berkuasa yang terlibat bahawa mereka akan memastikan keselamatan semua. Kalau di Malaysia, kami juga akan lakukan perkara sama. Dalam aspek itu, kami rasa kami memiliki persefahaman," kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.


Kredit foto: FAM

Advertisement

Must Watch Video