Skip to main content

Bola Sepak

Ceferin bidas cubaan hidupkan Liga Super Eropah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ceferin.jpg
Presiden Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, menggesa sisa penyokong Liga Super harus hidup selari dengan dunia ini di sebalik laporan bahawa Juventus, Real Madrid, dan Barcelona masih cuba menghidupkan semula projek itu -- setahun selepas perancangan itu dibatalkan. 

Saingan Liga Super yang diumumkan pada 18 April tahun lalu tidak dapat diteruskan selepas sembilan daripada 12 kelab yang menjadi pengasas kejohanan itu memutuskan untuk meninggalkan idea berkenaan, beberapa hari selepas ia menerima kecaman hebat daripada seluruh dunia bola sepak.

Bagaimanapun, Madrid, Barca dan Juve masih komited dengan projek itu, dengan Presiden Bianconeri, Andrea Agnelli, dilaporkan berminat untuk memulakan langkah baharu.

Bercakap dalam Sidang Kemuncak Bola Sepak dan Perniagaan Financial Times di London di mana Agnelli turut hadir, presiden UEFA itu mengecam pemilik kelab yang masih cuba berpakat untuk mewujudkan kejohanan kontroversi tersebut biarpun benua berkenaan sedang hangat dengan topik pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

"Mula-mula mereka melancarkan idea karut ini di tengah-tengah pandemik (COVID-19)," kata Ceferin mengenai pemilik kelab gergasi yang cuba menggerakkan Liga Super.  

“Sekarang kami terdengar pula bahawa mereka mahu melancarkan satu kejohanan di sebalik situasi peperangan ketika ini. 

"Mereka perlu selari dengan dunia ini."

Ceferin sebelum ini melabel Agnelli serta presiden kelab gergasi Sepanyol, Florentino Perez dan Joan Laporta, sebagai tidak cekap sambil menuduh mereka cuba membunuh bola sepak.

   

Advertisement

Must Watch Video