Skip to main content

Bola Sepak

Cavani lanjutkan kontrak bersama PSG hingga 2020

26417edinson-cavani.jpg
Edinson Cavani telah menandatangani kontrak baru dengan Paris Saint-Germain (PSG), melanjutkan perjanjian semasa selama dua musim untuk mengekalkannya bersama juara Ligue 1 itu sehingga 2020.

Cavani -- yang telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Arsenal -- semakin berkembang berikutan penghijrahan keluar Zlatan Ibrahimovic, dengan menjadi pemain pertama dalam lima liga utama Eropah mencapai 30 gol liga musim ini.

Dia menemui sasaran gol yang ke-31 dalam Ligue 1 dalam kempen ini apabila PSG menewaskan Montpellier 2-0, Sabtu lalu, untuk memberikan tekanan kepada Monaco yang berada di tangga teratas.

Pemain antarabangsa Uruguay itu meledak 125 gol dalam 192 perlawanan sejak menyertai PSG dari Napoli pada Julai 2013 dan menghampiri rekod 156 gol Ibrahimovic bersama kelab itu.

Pemain berusia 30 tahun berkenaan telah memenangi tiga kejuaraan liga dengan PSG, serta dua Piala Perancis dan empat Piala Liga tetapi Cavani menegaskan dia mahu mencapai lebih lagi bersama PSG.

"Saya amat gembira dapat melanjutkan kontrak dan komitmen saya untuk Paris Saint-Germain," katanya.

"Seperti yang saya selalu tegaskan, saya sentiasa berniat dapat terus bermain untuk Paris, penyokong dan semua kakitangan menjadikan ia salah satu kelab terbesar di dunia.

"Saya yakin bahawa kelab ini mempunyai potensi untuk mencapai semua objektifnya. Bersama-sama, kami akan menjadi lebih dan lebih bercita-cita tinggi pada musim akan datang."

Cavani dan PSG akan mempunyai peluang untuk melangkah ke final Piala Perancis, awal pagi nanti, apabila mereka menghadapi Monaco, yang berkongsi mata dengan PSG di puncak Ligue 1 dengan satu perlawanan di dalam tangan.

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, berkata ikatan bersama Cavani untuk perjanjian baru adalah tanda cita-cita kelab.

"Lanjutan kontrak baru ini mengesahkan keyakinan besar Edinson Cavani dalam projek kami," katanya. "Dia penyerang terbaik di dunia pada masa ini.

"Dia adalah salah seorang penyerang elit di Eropah. Edi hebat di Paris dan mempunyai hubungan baik dengan kelab, peminat dan bandar ini. Edi mencipta sejarah di kelab, sumbangan golnya, juga komitmen dan cita-citanya. Penyokong kami suka cara Edinson yang sentiasa memberikan segala-galanya, pada setiap minit dalam setiap perlawanan.

"Tandatangannya cukup kuat, untuk semua yang sukakan kelab ini, yang Paris Saint-Germain boleh melihat ke depan dengan keyakinan, kestabilan dan cita-cita."

Advertisement

Must Watch Video