UCL
Buffon: Oliver tidak berhati perut
Gianluigi Buffon menyifatkan pengadil, Michael Oliver, telah menghancurkan hatinya apabila memberikan sepakan penalti kontroversi sehingga menafikan peluang Juventus ke separuh Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Buffon melakukan protes terhadap Oliver selepas pengadil dari England itu menunjukkan isyarat penalti susulan tindakan Medhi Benatia menjatuhkan Lucas Vazquez dari belakang.
Juve mengikat kedudukan agregat apabila menjaringkan tiga gol tanpa bolos di Santiago Bernabeu, namun sepakan penalti Cristiano Ronaldo pada saat-saat akhir memadamkan api kebangkitan The Old Lady.
Iklan
"Ia adalah penalti yang ke-10. Saya tahu pengadil menyaksikannya dan ia adalah insiden yang meragukan," kata Buffon.
"Insiden seperti itu berlaku pada minit ke-93 dan anda tidak boleh memberikannya selepas kami dinafikan peluang sama dalam aksi sebelum ini.
"Seluruh pasukan memberikan segalanya tetapi semua harapan tidak boleh dimusnahkan hanya dengan satu situasi yang sangat mencurigakan.
"Tentunya anda tidak mempunyai perasaan tetapi hanya sampah di dalam dada. Jika anda tidak memiliki perwatakan untuk berjalan di atas padang dalam aksi sebegini, lebih baik anda hanya duduk di bangku penonton bersama keluarga.
"Anda tidak boleh menamatkan impian sebuah pasukan. Real Madrid berhak meraikan kemenangan selepas dua perlawanan, saya mengucapkan selamat maju jaya buat mereka. Tentunya menjadi satu penghormatan untuk berdepan kelab ini tetapi sekurang-kurangnya kami ditewaskan dalam waktu tambahan permainan."
Must-Watch Video