Skip to main content

Bola Sepak

The Blues diberi amaran mengenai ancaman Tottenham

conte1.jpg
Antonio Conte menggesa Chelsea agar menganggap Tottenham Hotspur mampu memenangi semua baki perlawanan mereka dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Anak buah Conte mengambil langkah penting dengan meledak gol pada babak pertama menerusi Eden Hazard untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Manchester City di Stamford Bridge, awal pagi tadi. 

Ia sebagai satu tindak balas ideal berikutan kekalahan mengejut The Blues pada hujung minggu lepas apabila tewas kepada Crystal Palace untuk kekal tujuh mata di puncak liga.

Chelsea hampir melebarkan penguasaan mereka sehinggalah pencabar terdekat, Tottenham, mempamerkan kebangkitan lewat menakjubkan -- menewaskan Swansea City 3-1 selepas Dele Alli menyamakan kedudukan pada minit ke-88.

"Perkara paling mustahak adalah melihat diri sendiri. Ia adalah sangat penting," kata Conte kepada BT Sport.

"Kami harus memikirkan bahawa Tottenham mampu memenangi semua permainan. Sebab itu kami perlu mendapatkan 18 mata untuk memenangi kejuaraan.

"Saya berasa kami bermain agak hebat pada musim ini dan gelaran juara masih jauh. 

"Benar, ini adalah satu lagi langkah besar terhadap pasukan yang hebat kerana saya fikir Manchester City adalah sebuah pasukan yang benar-benar hebat. Adalah sukar untuk menentang mereka.

"Mereka mempunyai kualiti tinggi dan idea bola sepak yang baik.

"Kami membuktikan kami boleh menjadi sebuah pasukan hebat untuk memenangi perlawanan sukar selepas tewas kepada Crystal Palace.

"Bukan mudah untuk bangkit dengan cara ini dan saya berpuas hati."

Hazard memainkan watak penting dan menjadi nadi buat Conte yang mencabar perancang utamanya itu agar terus mempamerkan rentak cemerlang sehingga akhir kempen.

"Eden sedang bermain dengan baik. Komitmennya hebat. Dia menjaringkan dua gol tetapi komitmennya, gerakannya untuk pasukan sangat baik," katanya.

"Dia mesti meneruskan gaya ini kerana kini masih terdapat lapan perlawanan dan adalah penting untuk bermain dengan baik dengan pemain yang mempunyai bakat besar sepertinya."

Conte turun menampilkan Kurt Zouma dalam kesebelasan utama sejak pemain pertahanan itu mengalami kecederaan ligamen lutut ketika menentang Manchester United, Februari lalu.

Zouma kemudian dikeluarkan selepas rehat, Conte bagaimanapun menjelaskan tindakan itu bukan kerana kebimbangan mengenai kecergasan pemain berusia 22 tahun itu.

Dia memperkenalkan Nemanja Matic demi mengukuhkan bahagian tengah Chelsea susulan ancaman David Silva dan Kevin De Bruyne pada penghujung perlawanan. 

"Ia hanya perubahan taktikal," katanya. 

"Saya berasakan Kurt telah bermain dengan baik pada separuh masa pertama tetapi kami mengalami terlalu banyak tekanan di bahagian tengah dan atas sebab ini saya lebih suka untuk mengetengahkan Matic dan mengukuhkan bahagian tengah kami.

"Ia adalah tepat kerana pada babak kedua, kami tidak berdepan risiko."

Advertisement

Must Watch Video