Skip to main content

Bola Sepak

Bergwijn pasang niat tinggalkan Tottenham

bergwijn.jpg
Penyerang Tottenham, Steven Bergwijn, mengesahkan hasratnya untuk mencari kelab baru dengan berkata: "Saya mahu meninggalkan Spurs sekarang, itu sudah pasti."

Pemain antarabangsa Belanda itu telah dikaitkan akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan sejak jendela perpindahan Januari lalu selepas bergelut untuk beraksi sejak ketibaan Antonio Conte sebagai pengurus pada November 2021. 

Bergwijn hanya memulakan satu perlawanan liga di bawah pengurus Itali itu sambil membuat 19 penampilan lagi dari bangku simpanan dengan menyumbangkan tiga gol.

Sumbangannya paling berharganya pada musim ini adalah ketika diperkenalkan pada minit ke-79 di Leicester City selepas pasukannya ketinggalan 1-2 sebelum ledakan bergandanya pada masa kecederaan memastikan kemenangan mereka.

Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Spurs daripada PSV Eindhoven pada Januari 2020 dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak £27 juta (RM148.1j), dan dia telah membuat 83 penampilan dengan 38 kali di barisan utama selain menyumbangkan lapan gol.

 

Lantas, Bergwijn -- yang menjaringkan gol untuk negaranya dalam kemenangan 4-1 ke atas Belgium dalam perlawanan Liga Negara-Negara (UNL) kelmarin -- memberitahu media Belanda AD bahawa dia akan menentukan masa depannya tidak lama lagi.

"Ketika ini saya bersama skuad Oranje dan kita akan melihatnya kemudian," katanya. 

"Alangkah baiknya jika ada sebarang kesepakatan yang konkrit tidak lama lagi. Saya hanya perlu kerap beraksi.

"Tetapi sudah pasti saya mahu meninggalkan Spurs."

Advertisement

Must Watch Video