LIGA INGGERIS
Bek kanan dan kiri City sudah berumur -- Guardiola
Pep Guardiola mengakui pemain bek kanan dan kirinya tidak berupaya untuk mengikuti corak permainannya di Manchester City kerana sudah berumur.
City diikat seri tanpa jaringan berdepan United di Etihad, awal pagi tadi.
Walaupun City mendominasi perlawanan dengan 69 peratus penguasaan bola, namun mereka gagal memadam harapan pasukan jiran dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara Eropah.
Iklan
Guardiola memilih Pablo Zabaleta, 32 tahun, dan Aleksandar Kolarov, 31 tahun, bagi mengisi slot di bek kanan dan kiri dengan Bacary Sagna dan Gael Clichy masing-masing 34 dan 31 tahun di bangku simpanan.
Ketika di Barcelona dan Bayern Munich, Pep dibanjiri pemain yang memiliki kelajuan, antaranya Dani Alves, Jordi Alba, David Alaba dan Philip Lahm, namun dia berdepan situasi sukar di Etihad sehingga terpaksa meletakkan Jesus Navas di bahagian bek kanan.
Mengambil kira faktor umur, Guardiola memilih untuk tidak melakukan sistem serangan menggunakan khidmat pemain bek.
"Saya enggan memberikan mereka tugas menyerang dalam perlawanan ini, sebaliknya mencari cara lain untuk memburu gol," Guardiola memberitahu Sky Sports.
"Mereka sedang menunggu untuk menghukum kami. United memiliki ramai pemain berkualiti tetapi mereka memilih untuk bertahan dan cuba menyerang ketika pemain bek saya naik terlalu tinggi. Malangnya itu tidak berlaku kerana masing-masing sudah berusia 30 tahun ke atas."
Gabriel Jesus kembali membuat penampilan selepas pulih daripada kecederaan metatarsal dan hampir mencatat nama selaku penjaring sebelum penjaga garisan mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid ketika menerima hantaran Sergio Aguero.
Bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun itu meninggalkan impak sebaik turun beraksi dan Guardiola membayangkan senario berbeza andai pemain itu tiba pada awal musim dan tidak diketepikan ekoran kecederaan.
"Saya sentiasa terbayang apa yang akan berlaku andai Gabriel bersama kami sejak awal musim," kata Guardiola.
"Dia memberikan impak yang menakjubkan. Saya yakin jika senario sedikit berbeza, kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik."
Must-Watch Video