Skip to main content

Bola Sepak

Azrin risau nasib pemain muda PKNS

piala-belia.jpg
Jurulatih skuad Piala Belia PKNS FC, Muhd Azrin Mohamed, menyifatkan sebarang cadangan penggabungan pasukan itu sebagai kelab 'feeder' kepada Selangor sebagai keputusan kurang tepat.

Selain menganggap keputusan itu tidak adil, Azrin berkata situasi tersebut akan merugikan semua pihak serta menjejaskan masa depan, khususnya kepada pemain muda PKNS.

Malah, dua penampilan berturut-turut di pentas final Piala Belia menjadi petunjuk keberkesanan sistem pembangunan skuad Semut Merah itu.

Menurut Azrin, walaupun menyerahkan kepada pengurusan untuk membuat keputusan terbaik, PKNS memiliki sejarah tersendiri yang perlu dikekalkan.

"Selain itu juga, kami ada akademi pembangunan yang terbaik di Lembah Klang.

"Bagi saya, tidak adil (penggabungan) setelah kami bekerja keras sehingga ke tahap ini tapi ada pihak tertentu (tidak suka). Susahlah," ujarnya kecewa.

Menurut laporan, 47 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam Kongres Luar Biasa (EGM) bersetuju menjadikan PKNS sebagai kelab 'feeder' kepada Selangor.

Keputusan itu, begitupun, masih dalam proses di antara FAS dan PKNS sebelum dimuktamadkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Azrin ditemui selepas menyaksikan PKNS tumpas 0-1 kepada Terengganu dalam aksi final edisi 2019 di Kuala Terengganu, malam tadi.

Jaringan tunggal penyerang skuad B-19 negara, Muslihuddin 'Atiq Mat Zaid, (m-62) cukup memastikan kejuaraan Terengganu dalam pertemuan ulangan final musim lalu itu.

Advertisement

Must Watch Video