Skip to main content

Bola Sepak

Atletico tidak sanggup lagi dikecewakan Real Madrid dalam final

torres-210417.jpg
Penyokong Atletico Madrid lebih rela tersingkir dalam separuh akhir Liga Juara-Juara daripada menempa kekalahan ketiga dalam aksi perlawanan akhir kepada musuh ketat, Real Madrid, menurut Bernd Schuster.

Bekas ketua jurulatih Real, Schuster, yang pernah mewakili Atletico sebagai pemain, berasakan kedua-dua kelab Madrid itu mungkin diundi bertemu satu sama lain di peringkat separuh akhir.

Begitupun, andai mereka diasingkan dalam undian pada hari ini di Nyon, dia membayangkan skuad kendalian Diego Simeone itu bimbang bertemu Real yang mengecewakan mereka dalam final 2014 dan saingan musim lalu. 

"Beberapa rakan di Atletico memberitahu saya bahawa mereka lebih suka kalah dalam separuh akhir daripada berdepan Real Madrid dalam satu lagi perlawanan akhir," kata Schuster kepada Marca.

"Bagaimanapun, saya yakin perlawanan 'derby' akan berlaku dalam separuh akhir.

"Real Madrid mempunyai skuad yang lebih besar dan sangat penting bagi mengharungi musim yang panjang.

"Mempunyai skuad terbaik tidak selalunya membawa anda kepada kejayaan, tetapi Zinedine Zidane tahu bagaimana untuk menghasilkan yang terbaik.

"Mereka membuat penampilan hebat ketika menentang Bayern Munich dan berhak ke separuh akhir."

Perhatian Schuster turut tertumpu kepada pertembungan El Clasico, dengan skuad bimbingan Zidane itu akan menanti kunjungan Barcelona di Santiago Bernabeu, awal pagi Isnin nanti. 

"Jika Barcelona tewas, mereka boleh mengucapkan selamat tinggal kepada LaLiga," kata Schuster.

"Barcelona bertandang selepas kalah dalam Liga Juara-Juara tetapi itu semua akan diketepikan ketika mereka turun beraksi.

"Di Bernabeu nanti, Real Madrid adalah pasukan pilihan. Kehilangan Neymar adalah tamparan hebat kepada Barcelona dan saya pasti mereka akan berasa kehilangannya."
 

Advertisement

Must Watch Video