PIALA DUNIA
Asia, Afrika jauh ketinggalan -- Queiroz
Pengurus Iran, Carlos Queiroz, menuntut agar perubahan dilakukan bagi membolehkan pasukan bola sepak dari Asia dan Afrika berkembang selepas melihat perbezaan ketara jika dibandingkan dengan pasukan dari Eropah.
Queiroz menyaksikan pasukan yang dibimbingnya, Iran, ditewaskan oleh Sepanyol 1-0 dalam aksi kedua Kumpulan B, Piala Dunia 2018 hasil jaringan tunggal daripada Diego Costa awal pagi tadi.
Selepas perlawanan, dia memberitahu barisan wartawan bahawa wakil dari Asia dan Afrika tidak mempunyai sebarang kelebihan apabila bertanding di peringkat dunia.
Iklan
Setelah menundukkan Maghribi dalam aksi pertama, Iran masih berpeluang untuk mara ke pusingan kedua, dengan syarat perlu mengatasi Portugal dalam perlawanan terakhir tetapi Queiroz tidak melihat sebarang aspek positif daripada cabaran wakil Asia terhadap pasukan dari Eropah.
"Saya mempunyai pendapat yang berbeza," katanya.
"Dua tahun lalu, saya memberitahu bahawa pasukan dari Eropah telah menjadi lebih baik berbanding negara dari benua lain.
"Pasukan dari benua lain bergelut untuk menjadi lebih baik. Hanya pasukan yang berpeluang membawa masuk pemain dari Eropah mempunyai kelebihan. Untuk wakil Asia dan Afrika, jurangnya terlalu besar.
"Pasukan seperti Maghribi dan Senegal yang bertanding selaku wakil Afrika bukan pasukan sebenar dari benua itu. Pemain-pemain Afrika beraksi di Eropah, jadi pada pendapat saya, ia sangat jelas selepas 37 tahun berada dalam bidang ini," tambahnya.
Iran mengharungi 18 aksi kelayakan dalam saingan peringkat Asia untuk mara ke Piala Dunia 2018 manakala pasukan Eropah hanya berdepan 10 perlawanan, membuatkan Queiroz berpendapat ia perlu diubah.
"Empat tahun lalu, perbezaan di antara Asia dan Afrika sangat besar, begitu juga dengan lapan tahun lalu. Selepas beberapa Piala Dunia, ia akan terus berkembang jika peraturan tidak diubah.
"Rancangan pembangunan untuk Asia dan Afrika tidak boleh disamakan dengan Eropah," tambahnya.
Must-Watch Video