Skip to main content

Bola Sepak

Apa yang marah sangat? -- Subkhiddin Salleh persoal tindakan FAM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

subkhiddin.jpg
'Apa salah besar yang telah dilakukan Fitri Maskon?', itu persoalan ditimbulkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh, merujuk kepada pemecatan pengadil Liga Malaysia, Fitri Maskon, yang dianggap tidak wajar.

"Ramai yang kena gantung, keputusan itu boleh wajar tetapi apabila sampai dipecat, itu sudah tidak boleh diterima," kata Subkhiddin menerusi Nadi Arena.

"Persoalannya timbul adalah kenapa marah sangat? Sehingga dipecat. Kenapa marah sangat sehingga mengeluarkan kenyataan pengadil tersebut dipecat. 

"Apa yang dapat saya lihat berdasarkan perlawanan itu mungkin berbeza daripada penonton lain, namun pada pendapat saya, hukuman tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukan oleh pengadil itu." 

Tegasnya, tindakan FAM tidak memberikan sebarang elemen mendidik buat pengadil lain malah menimbulkan rasa tidak berpuas hati sedangkan pengadil hanyalah kelompok yang secara sukarela membantu FAM.

"Apabila dia dipecat, dia masih lagi boleh pergi kerja seperti biasa namun dia akan berada dalam situasi yang sangat tertekan. Bukan mudah untuk menghadapi masyarakat dengan perasaan malu yang tidak terhingga.

"Digantung perlawanan sudah tinggi tahap malu, apatah lagi jika dipecat.

"Terma dipecat ini menghadirkan banyak persoalan bukan sekadar mutu pengadilan yang lemah dan mungkin ada unsur-unsur yang lain. Daripada perspektif saya, tindakan ini tidak wajar." 

Keputusan pemecatan Fitri dianggap keterlaluan dan merupakan kali pertama terhadap pengadil.

 

Berdasarkan laporan semalam, FAM mengambil keputusan untuk memecat Fitri yang membabitkan insiden yang berlaku ketika aksi Piala MFL 2024-2025 antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Khamis lalu. 

Dalam perlawanan tersebut Fitri telah memberikan masa tambahan yang berlebihan dilihat satu tindakan yang melampau.

"Pengadil ini adalah sukarela. FAM jemput untuk berada dalam posisi sebagai pengadil yang bertugas bersama FAM.

"Jika tidak bersetuju dengan mutu pengadilan, hormatlah pengadil itu. Rehatkan dengan cara yang lebih hormat. 

"Takkan tiada rasa empati dalam diri. Dia juga memiliki ahli keluarga, kerja dan sudah pasti dia akan berasa malu."

 

Advertisement

Must Watch Video