Skip to main content

Bola Sepak

Andritany malu reaksi penyokong tuan rumah

kapten-indonesia.jpg
"Hati saya lebih sakit melihat kejadian di stadium."

Kapten Indonesia, Andritany Ardhiyasa, mengakui berasa malu dengan insiden rusuhan yang dicetuskan penyokong sendiri sehingga dilihat menyebabkan kekalahan pasukannya ketika berdepan Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, semalam.

"Cukup sakit kerana dibolosi gol dan kalah hasil jaringan pada lewat permainan. Sedih dan kecewa tetapi sejujurnya, hati saya lebih sakit melihat insiden yang berlaku di stadium. Ini mencemarkan nama baik Indonesia," ujar pemain berusia 27 tahun itu.

Aksi rancak yang dijelmakan kedua-dua pasukan terhenti pada minit ke-69 apabila penyokong tuan rumah mula menyerang tempat duduk penyokong Malaysia.

Selain balingan botol, penyokong skuad Garuda turut melemparkan suar terhadap peminat Harimau Malaya dan insiden itu menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan selama lapan minit.

Bagaimanapun, pengendali Indonesia, Simon McMenemy, enggan menjadikan insiden itu sebagai punca kekalahan, sebaliknya menganggap faktor stamina sebagai pemisah di antara kedua-dua pasukan.

"Saya fikir pemain kepenatan dalam 15 atau 20 minit terakhir. Secara jujur, saya rasa ia membawa kepada soalan anda yang seterusnya. Saya tidak mahu bercakap tentang penyokong tetapi ia tetap salah satu perkara yang buruk dalam bola sepak," katanya.

Advertisement

Must Watch Video