Carlo Ancelotti yang berang menggesa pengenalan pembantu video pengadil (VAR) ekoran Arturo Vidal dibuang padang secara kontroversi yang menjadi punca Bayern Munich disingkirkan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi taid.
Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik untuk memimpin kemenangan 4-2 Madrid dalam masa tambahan untuk mara 6-3 secara agregat dalam aksi kedua suku akhir itu.
Bagaimanapun, pertembungan yang mendebarkan itu dibayangi oleh keputusan pengadil apabila pemain tengah Bayern, Vidal, dilayangkan kad kuning kedua di atas terjahan yang dilakukan secara sah ketika kelab Jerman itu sedang mendahului 2-1 menjelang tambahan masa.
Bayern dibiarkan menanggung derita lebih perit apabila Ronaldo menjaringkan gol keduanya dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-104 dan bekas ketua jurulatih Madrid, Ancelotti, secara berterus-terang melontarkan kritikan terhadap pengadil sejurus tamat perlawanan.
"Prestasi pengadil adalah lebih teruk daripada kami," kata Ancelotti kepada Sky.
"Saya tahu ia adalah bola sepak dan kadang-kala ia berlaku tetapi bukanlah kesilapan seteruk ini."
Tambah Ancelotti menerusi Mediaset Premium: "Kami telah mempertimbangkan segala-galanya mengenai aksi ini, kecuali pengadil. Sayangnya, kalau tidak ia akan menjadi perlawanan yang sempurna...
"Saya amat berbangga dengan pemain saya kerana mereka telah bekerja keras melebihi kemampuan mereka, kemudian ia jadi begini ... pengadil mungkin gagal melaksanakan tugas dengan baik.
"Saya tidak fikir Real Madrid mempengaruhi keputusan pengadil. Pengadil pada malam ini membuat keputusan salah. Saya tidak pernah memihak kepada teknologi VAR tetapi saya harus mengakui ia adalah keperluaan sekarang.
"Anda tidak boleh membuat keputusan separuh akhir Liga Juara-Juara seperti ini. Saya bercakap dengan (jurulatih Madrid, Zinedine) Zidane selepas perlawanan dan dia bersetuju dengan saya bahawa prestasi pengadil adalah negatif.
"Ia tidak sepatutnya berlaku di peringkat ini dan saya berharap pengadil akan dibantu oleh teknologi secepat mungkin."