PIALA FA
Alves mampu main peranan robek gawang skuad Jang
Penyerang import Pahang, Matheus Alves, sedia menjadi taruhan utama berdepan Negeri Sembilan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA esok setelah Tok Gajah kehilangan 'ayam tambatan', Mohamadou Sumareh.
Alves terpaksa menggalas tugas besar di Stadium Darulmakmur malam esok memandangkan Pahang tidak dapat menurunkan dua tonggak utamanya di jentera serangan.
Dengan Sumareh bakal menjalani penggantungan satu perlawanan, Bright Dike pula tampak masih belum cergas untuk tugasan menentang Negeri Sembilan.
Iklan
Alves mengakui ketiadaan Sumareh cukup dirasai, namun penyerang dari Brazil itu optimis mampu melaksanakan peranannya untuk misi merobek gawang skuad Jang.
"Dia (Sumareh) seorang pemain yang bagus, dia telah menjaringkan gol penting dalam aksi suku akhir kedua tempoh hari.
"Tetapi, itu bukan masalah utama walaupun hanya saya seorang penyerang import sahaja yang akan beraksi esok, jadi saya mahu meledak jaringan untuk membantu Pahang meraih bekalan selesa", katanya.
Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh, percaya terhadap kemampuan pemain lain untuk menggantikan tempat Sumareh di bahagian sayap kanan.
"Saya percaya pemain tempatan seperti Nurridzuan Abu Hassan dan Christie Jayaseelan sudah boleh beraksi.
"Cuma, daripada segi kecergasan perlawanan, masih tidak mencukupi," ujarnya.
Must-Watch Video