Skip to main content

Bola Sepak

AJFC Malaysia, Kalawon hampiri separuh akhir

24417ajfc.jpg
Kalawon FC menghampiri separuh akhir Kejohanan Kem Bola Sepak Remaja Allianz (AJFC) Malaysia Zon Timur selepas mencatat dua lagi kemenangan dalam saingan minggu ketiga di Padang Sukma, Likas, Kota Kinabalu, kelmarin.

Pasukan dari Tenom itu terus menguasai Kumpulan A selepas mengumpul 18 mata daripada enam perlawanan, termasuk aksi minggu ketiga yang menyaksikan mereka menewaskan Safa Kota Marudu 1-0 serta membelasah SMA Tun Ahmad Shah 8-0.

Dua kemenangan itu juga membolehkan Kalawon FC kini lima mata di depan Tabs Safa Bandaraya yang naik ke tangga kedua selepas mencatat dua kemenangan selesa ke atas Young Scorpionz 7-0 serta Safa Kuala Penyu 4-1.

Sementara itu, Safa Kota Marudu jatuh satu anak tangga ke kedudukan ketiga Kumpulan A selepas tewas 0-1 kepada Kalawon FC, bagaimanapun, bangkit memenangi perlawanan kedua dengan keputusan 2-1 terhadap Safa Putatan.

Dalam perkembangan lain, tiga pasukan, iaitu Safa Kota Belud, Simfield Academy FC serta MMT Junior bakal menentukan nasib mereka pada minggu terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu depan.

Ini kerana tiga pasukan berkenaan kini berkongsi 16 mata selepas enam perlawanan dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

Safa Kota Belud terus kekal di tangga teratas apabila mencatat seri 1-1 dengan Simfield Academy FC sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas TABS Safa Bandaraya.

Simfield Academy FC yang sebelum itu seri dengan Safa Kota Belud pula mencatat kemenangan dalam perlawanan kedua mereka bertemu Romo @ Safa Papar dengan keputusan 2-0, sekali gus mengekalkan mereka di kedudukan kedua mengatasi MMT Junior dengan perbezaan jaringan.

Sementara itu, MMT Junior hampir mencatat kekalahan pertama mereka ketika aksi bertemu Romo @ Safa Papar selepas ketinggalan 0-2 tetapi mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan bagi mencatat keputusan seri 2-2.

Aksi kedua MMT Junior pada minggu ketiga pula menyaksikan mereka menewaskan KVKu Junior FC 2-0 untuk menghidupkan peluang mara ke separuh akhir.

Minggu terakhir perlawanan bagi peringkat kumpulan akan bersambung pada 29 April ini bagi menentukan dua pasukan dari setiap kumpulan yang akan mara ke peringkat separuh akhir.

Advertisement

Must Watch Video