ACLE
ACLE: Poyet kesal Jeonbuk Hyundai Motors jadi mangsa pilih kasih
Ketua jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors, Gustavo Poyet, mempertikai kualiti Stadium Bolasepak Sydney sambil menempelak pengelola Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) kerana bersikap pilih kasih.
Kelab Korea Selatan itu dilarang daripada menggunakan gelanggang sendiri dalam perlawanan pertama yang lalu dan terpaksa beralih ke stadium lain yang memakan masa perjalanan selama dua jam.
Lantaran itu, mereka gagal menggunakan kelebihan di tempat sendiri atas faktor kebimbangan kualiti padang hingga mempengaruhi penurunan mendadak penyokong yang hanya hadir sekitar 2,500 orang.
Iklan
Mereka akan kembali membuat perhitungan kedua di Australia pada petang ini untuk mengintai tempat ke suku akhir ACLE dengan Sydney berbekalkan agregat 2-0.
"Kita sedang melihat kepada sudut lain bola sepak yang mana saya berpendapat adalah tidak menyenangkan.
"Politik, penggubal undang-undang merupakan individu yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bola sepak. Kami terpaksa membayarnya, peminat dan penyokong terpaksa membayarnya. Mereka yang berkuasa adalah puncanya. Hanya 2,500 orang yang datang tengok aksi suku akhir ACLE. Ia tidak berbaloi langsung.
"Ini kali pertama saya mengadakan sidang akhbar bukan di gelanggang sendiri, di pusat latihan pihak lawan.
"Ia terasa janggal. Kebiasannya ia dilangsungkan di stadium kami sendiri. Saya tidak pasti adakah ia memang diamalkan di Sydney atau Australia. Tapi sudah tentunya ia tidak berjalan sebegini kalau di tempat lain," katanya.
Poyet terus melanjutkan kritikannya terhadap mutu pengadilan, penggunakan video bantuan pengadil (VAR).
"Pemain terpaksa menunggu beberapa minit (pengesahan gol melalui VAR).
"Ada individu yang berada di Malaysia atau Zurich yang memakai tali leher, cuba mengajar kami bermain bola sepak. Itu silap, itu silap.
"Mereka terus melakukannya dan sekarang merumitkan lagi pengadil. Mereka gemar tunjukkan kuasa kerana merekalah yang bertanggungjawab.
"Mereka tidak melakukan apa-apa dan hanya menunggu arahan daripada pihak atasan.
"Dalam perlawanan terakhir (prestasi) pengadil garisan lebih teruk, mereka berikan balingan ke dalam tetapi tiada ofsaid. Adakah ia perlawanan seperti yang kita inginkan, tidak!
"Kami mahukan perlawanan yang adil. Kalau pencabar menang maka mereka pasukan lebih baik -- tiada kaitan dengan pengadil.
"Tapi dalam perlawanan ini, tiada 50-50," katanya.
Must-Watch Video