Kerajaan Itali menyelar cadangan supaya skuad kebangsaan mereka dihantar ke Piala Dunia 2026 bagi menggantikan tempat Iran meskipun pasukan Azzurri itu sudah pun gagal melayakkan diri secara merit untuk edisi ketiga berturut-turut.
Reaksi itu hadir selepas seorang utusan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan agar Itali diberi 'laluan belakang' sekiranya Iran dilarang bertanding susulan konflik peperangan yang sedang berlaku.
Advertisement
Menteri Sukan Itali, Andrea Abodi menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak wajar dan menegaskan bahawa maruah bola sepak sesebuah negara perlu diraih di atas padang, bukannya melalui rundingan politik.
"Ia adalah sesuatu yang tidak wajar. Kelayakan ke kejohanan besar seperti ini mestilah ditentukan di atas padang," katanya.
Nada yang sama turut disuarakan Menteri Ekonomi Itali, Giancarlo Giorgetti yang menyifatkan idea tersebut sebagai sesuatu yang memalukan.
Terdahulu, Paolo Zampolli, seorang warga Itali-Amerika yang merupakan utusan AS bagi hubungan global mendedahkan telah mengemukakan cadangan itu kepada Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
"Saya anak jati Itali dan ia adalah satu impian untuk melihat Azzurri beraksi di kejohanan yang dihoskan oleh AS. Dengan empat gelaran dunia, mereka mempunyai sejarah yang cukup besar untuk mewajarkan penyertaan tersebut," kata Zampolli.
Cadangan Zampolli itu dipercayai sebagai usaha untuk memulihkan hubungan diplomatik antara Trump dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni yang sebelum ini dilaporkan 'dingin' ekoran kritikan pemimpin AS itu terhadap Pope Leo XIV berkaitan isu perang Iran.
Bagaimanapun, cadangan itu bukan sahaja ditolak oleh kerajaan Itali, malah turut mengundang rasa malu dalam kalangan peminat bola sepak negara tersebut.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Itali, Luciano Buonfiglio berkata, beliau berasa terhina dengan cadangan yang dianggap merendahkan martabat sukan Itali itu.
"Pertama sekali, saya rasa ia mustahil. Kedua, saya rasa tersinggung. Untuk ke Piala Dunia, anda perlu berusaha dan mendapatkannya secara merit," tegas beliau.
Sementara itu, badan induk bola sepak dunia, FIFA setakat ini tetap dengan pendirian untuk membenarkan Iran bertanding.
Gianni Infantino dalam satu kenyataan minggu lalu menegaskan bahawa sukan harus dipisahkan daripada elemen politik.
"Pasukan Iran akan datang (ke Piala Dunia), itu pasti. Mereka sangat mahu bermain dan mereka sepatutnya dibenarkan bermain. Sukan mesti berada di luar lingkungan politik," katanya.
Nasib penyertaan Iran menjadi tanda tanya sebelum ini memandangkan semua perlawanan peringkat kumpulan mereka dijadualkan berlangsung di AS, namun jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani mengesahkan segala persiapan rapi telah dilakukan oleh Kementerian Sukan negara itu bagi memastikan kehadiran mereka di kejohanan tersebut.
Piala Dunia 2026 bakal dihoskan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. - Sinar Harian