Vinicius Jr menjaringkan gol kemenangan dalam separuh masa kedua untuk memastikan Real Madrid mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Benfica dalam aksi pertama playoff Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Lisbon awal pagi tadi.
Bagaimanapun, perlawanan itu turut dibayangi isu perkauman yang melibatkan penyerang itu dengan Gianluca Prestianni.
Advertisement
Insiden itu berlaku sejurus selepas Vinicius meletakkan pelawat di depam pada minit ke-50. Pengadil perlawanan, Francois Letexier, terpaksa menghentikan permainan selama 11 minit bagi mengaktifkan protokol anti-perkauman FIFA selepas bintang Brazil itu mendakwa dihina oleh pemain lawan berkenaan.
Rakaman televisyen memaparkan Prestianni, pemain sayap kelahiran Argentina, menutup mulut dengan jersinya sebelum menghalakan kata-kata kepada Vinicius. Vinicius dan rakan sepasukannya yang berada di kawasan berhampiran mendakwa ia merupakan cacian perkauman terhadap pemain berusia 25 tahun itu, yang sebelum ini sering menjadi sasaran perkauman di Sepanyol.
"Sesuatu yang sukar dipercayai apabila puluhan kamera di stadium gagal merakam kata-kata (Prestianni). Namun, tindakan menutup mulut ketika berbicara sudah menjelaskan segalanya," tegas kapten Real Madrid, Federico Valverde, dalam temu bual bersama Movistar Plus.
Valverde turut memuji ketabahan rakan sepasukannya itu dengan berkata: "Rakan-rakan yang berada di situ mendengar sesuatu yang sangat biadap. Vinicius adalah pejuang utama menentang rasisme dalam bola sepak, saya bangga dengan prestasi dan semangatnya."
Menurut laporanThe Associated Press, kamera televisyen merakam detik Vinicius memaklumkan kepada pengadil bahawa Prestianni memanggilnya dengan gelaran "monyet".