Penyokong Manchester City mungkin menarik nafas lega apabila melihat beberapa tonggak utama Real Madrid seperti Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Rodrygo Goes tiada dalam senarai kesebelasan utama menjelang aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Santiago Bernabeu.
Namun, apa yang mereka tidak dapat jangka adalah persembahan luar biasa kapten Real Madrid, Federico Valverde, yang mencuri tumpuan dengan ledakan hatrik pertama dalam karier profesionalnya, awal pagi tadi.
Advertisement
Pemain Uruguay berusia 27 tahun itu menghasilkan tiga gol hanya dalam tempoh 42 minit separuh masa pertama, sekali gus memberikan kelebihan besar kepada Real Madrid dalam aksi penting menentang kelab England itu.
Walaupun sering menghasilkan jaringan menarik, Valverde jarang dikenali sebagai penjaring prolifik, lebih-lebih lagi apabila beliau kerap diturunkan di posisi pertahanan kanan berbanding sebagai pemain tengah seperti kebiasaan untuk menampung ketiadaan pemain akibat kecederaan.
Malah sebelum perlawanan ini, beliau tidak menjaringkan sebarang gol dalam 26 perlawanan terakhir UCL dan tidak pernah menjaringkan lebih daripada satu gol dalam mana-mana perlawanan dalam kejohanan itu.
Ledakan hatrik Valverde dilihat mencuri perhatian rakan sepasukan yang menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton.
Pemain tengah England, Bellingham dilihat terpaku dengan mulut ternganga, manakala Mbappe bangun dari tempat duduknya bagi memberikan tepukan terhadap persembahan memukau yang ditunjukkan Valverde.
Pertahanan kanan Real Madrid, Trent Alexander-Arnold memuji rakan sepasukannya itu dengan menyifatkan Valverde sebagai antara pemain yang jarang dipandang dalam dunia bola sepak moden.
“Sesiapa sahaja yang pernah bermain bersama Valverde akan memahami betapa besar sumbangannya kepada pasukan,” katanya.
Bekas pertahanan Manchester City, Nedum Onuoha menyifatkan pemain Uruguay itu sebagai faktor utama yang membezakan kedua-dua pasukan dalam perlawanan tersebut.
Bekas pemain sayap Real Madrid, Steve McManaman pula memuji kepimpinan Valverde yang dilihat berjaya memimpin pasukan dengan sangat baik selepas menampilkan aksi luar biasa, awal pagi tadi.
Valverde menjadi pemain kedua menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama menentang kelab England dalam UCL selepas Lionel Messi melakukannya ketika Barcelona menentang Arsenal FC pada 2010.
Sebelum aksi menentang City, Valverde menyatakan hasratnya untuk memastikan penyokong Madrid berbangga dengan pasukan mereka.
Dia bukan sahaja memenuhi janji tersebut, malah meletakkan Madrid selangkah lebih dekat untuk mara ke suku akhir kejohanan elit Eropah itu.
