Skip to main content

Sukan SEA

(TERKINI) Bola Sepak Sukan SEA: Perjalanan penuh ranjau tapi Malaysia tetap menang pingat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

HM

Harimau Muda membawa pulang pingat buat kali pertama sejak 2017.

Dan, ia merupakan pingat gangsa pertama sejak edisi 2005.

Advertisement

Pasukan bola sepak lelaki negara meraih pingat gangsa selepas memenangi penentuan tempat ketiga-keempat menewaskan Filipina dalam Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.

Filipina tampil dengan skuad terkuat, sementara Harimau Muda dilanda krisis kecederaan, ketiadaan dan penggantungan pemain menjelang sepak mula hari ini.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang melancarkan serangan, namun hanya kualiti memisahkan jurang permainan.

Gol pertama hadir menerusi tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Danish Hakimi Sahaludin, pada minit ke-28 dengan mudah menampan masuk bola susulan daripada sepakan penjuru yang gagal ditangkap kemas penjaga gol lawan dibantu kekuatan fizikal Aysar Hadi Shapri.

Tersentak, Filipina menyamakan kedudukan 1-1 apabila tandukan sendiri oleh Haqimi Azim Rosli menembusi gawang Zulhilmi Sharani.

Namun, berbaki tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, bintang Kuala Lumpur (KL) City itu pantas menebus kesilapannya tatkala larian bertenaganya melepasi halangan pertahanan lawan dan mencuri peluang melihat ketiadaan penjaga gol untuk melepaskan sepakan dari luar kotak.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Nafuzi Zain terus diasak bertali arus, tetapi kecemerlangan Zulhilmi wajar diberi pujian.

Jentera pertahanan diketuai pemain Terengganu, Ubaidullah Shamsul Fazili, memainkan peranan penting bagi memastikan Malaysia tidak dibolosi.

Dengan ini, Harimau Muda berhasil mencipta magis meskipun sasaran awal diletakkan adalah mara ke separuh akhir temasya dwitahunan itu.

Menyingkap kembali, persiapan kali ini bukanlah gah akibat ketiadaan beberapa nama besar dan waktu persiapan singkat. Tetapi, mereka tetap membuktikan tiada apa yang mustahil apabila mengakhiri kejohanan di tempat ketiga.
 

Must Watch Video