Pengurangan hampir separuh daripada peruntukan asal bagi penganjuran SUKMA Selangor 2026 tidak menjejaskan persiapan keseluruhan temasya berkenaan yang disifatkan berjalan lancar dan mengikut perancangan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi berkata, keputusan mengurangkan kos penganjuran dibuat susulan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengambil kira keadaan ekonomi dan situasi semasa dunia ketika ini.
Menurutnya, walaupun berlaku pengurangan peruntukan, fokus utama kerajaan negeri adalah memastikan temasya terbesar negara itu dapat dianjurkan dengan berkesan tanpa menjejaskan pengalaman atlet, pegawai serta para penyokong.
“Setakat ini segala persiapan berjalan dengan sangat baik dan berada di landasan yang ditetapkan. Pengurangan kos bukan bermakna kualiti penganjuran akan terjejas,” katanya.
Najwan menjelaskan sebahagian besar peruntukan yang ada ketika ini akan disalurkan terus kepada aspek berkaitan pertandingan dan keperluan atlet bagi memastikan kelancaran perjalanan temasya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kemeriahan SUKMA Selangor 2026 tetap akan dapat dirasai walaupun penganjur mengamalkan pendekatan lebih berhemah dalam perbelanjaan.
Katanya, kerajaan negeri dan jawatankuasa penganjur memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberi impak maksimum kepada penganjuran.
“Yang paling penting adalah pengalaman atlet, kelancaran pertandingan dan kejayaan penganjuran. Kita mahu memastikan SUKMA Selangor 2026 kekal menjadi temasya yang membanggakan walaupun dengan peruntukan yang lebih rendah,” katanya lagi.
Dengan berbaki hanya beberapa bulan sebelum temasya membuka tirai, persiapan venue, logistik dan pelbagai aspek teknikal dilaporkan berada pada tahap memuaskan, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa Selangor mampu menganjurkan SUKMA 2026 dengan jayanya walaupun berdepan cabaran pengurusan kos.