Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA Thailand: Selepas 10 tahun ibu hadir, janji tolong cari adik-beradik terpisah -- Fitri Saari

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Fitri

Sejarah dan tradisi sukan hoki padang dari duhulu, kini dan harapnya selamanya, kekal unggul di rantau Asia Tenggara buat Malaysia -- meskipun dominasi negara dalam acara hoki dalam dewan dan lima sebelah (5's) seakan tercabar.

The Speedy Tigers dan The Speedy Tigress kenduri gol di pentas akhir untuk mengesahkan dua kilauan pingat emas dari Chonburi, sekali gus membuktikan penguasaan penuh tanpa henti.

Advertisement

Kem hoki padang wanita mula dipertandingkan dalam Sukan SEA 1997 di Jakarta, Indonesia.

Sejak itu, skuad wanita negara berjaya mengekalkan penampilan sempurna dengan meraih emas setiap kali dipertandingkan. Sukan SEA Thailand merupakan kilauan pingat emas kesembilan buat skuad kendalian Nasihin Nubli dalam temasya dwitahunan itu.

"Ini satu pencapaian yang tidak boleh dibayangkan. Ini adalah untuk pemain dan peminat-peminat hoki Malaysia.

"Dengan program yang disediakan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Majlis Sukan Negara (MSN), ia patut diteruskan untuk melahirkan pelapis-pelapis kebangsaan.

"Perjalanan kita baik. Pasukan wanita juga perlu diberi perhatian dalam arena antarabangsa," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

Untuk rekod, ini merupakan emas kali ketiga buat Nasihin selaku jurulatih.

Pencapaian membanggakan itu turut diraikan oleh pasangan suami isteri, mahupun ahli keluarga dan rakan-rakan yang  bersama-sama berjuang untuk negara dibalas dengan kejayaan pingat emas.

"Ini merupakan emas kedua peribadi saya.

"Lebih manis, kami membawa pulang dua emas iaitu bersama suami (Akhimullah Anuar Esook) dalam kategori hoki 5's dan padang," kata Dayang Nuramirah Aband Mahadini.

Cerita The Speedy Tigers pula tidak berbezanya meskipun perlu menghadapi kualiti permukaan padang yang kurang memuaskan.

Detik bersejarah turut terukir pada minit ke-42 apabila Fitri Saari buat kali pertama dalam sejarah menjaringkan gol sambil disaksikan ibu tercinta secara langsung.

"Saya sangat berbangga kerana ibu hadir dari Kelantan.

"Sekian lama juga saya rasa. Aksi di Malaysia juga ibu saya jarang datang dan hanya menyaksikan di televisyen.

"Saya rasa 10 tahun juga.

"Sebenarnya ibu saya mempunyai adik-beradik di sini, namun terpisah hampir 20 tahun.

"Ibu hadir datang mencari abangnya. Ibu berasal dari Surin dan pulang semula ke sana untuk mencari.

"Sekarang, saya terpaksa menangguh kehendak ibu dahulu berikutan Surin berada di sempadan Kemboja, dan di sana sedang berlaku ketegangan.

"Mungkin apabila sudah reda, saya akan pergi ke Surin untuk membantunya mencari adik-beradik ibu," katanya.

Sukan hoki menjadi penyatuan jiwa buat keluarga Amanraj Singh.

Penyerang berusia 20 tahun itu meneruskan legasi keluarga memenangi pingat emas Sukan SEA serta menjaringkan gol di perlawanan akhir, sekali gus mengulangi pencapaian yang sama seperti bapa saudaranya, Sarjit Singh.
 

Must Watch Video