Keputusan penganjur Sukan SEA 2025 untuk tidak membenarkan penyertaan pemain import atau naturalisasi dianggap sebagai faktor utama yang mencerahkan peluang skuad bola keranjang negara untuk merebut sekurang-kurangnya dua pingat dalam temasya di Thailand yang bermula 9 Disember depan.
Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock, menegaskan langkah itu memberi landskap persaingan yang lebih seimbang bagi menjadikan sasaran MABA lebih realistik berdasarkan kekuatan semasa pasukan tanpa mengira warna pingat apa dan kategori.
Advertisement
"Kami menyasarkan dua pingat sekurang-kurangnya.
"Pemain pada ketika ini menunjukkan semangat yang tinggi. Apabila berjumpa dengan pasukan yang lebih baik, kami memberikan tentangan kuat.
"Jadi saya yakin (menang pingat). Dengan ketiadaan pemain naturalisasi, peluang kami lebih cerah," katanya.
Menurutnya, skuad kebangsaan telah melalui persiapan intensif termasuk latihan pusat dan penglibatan dalam perlawanan pemanas badan di beberapa buah negara antaranya, China, Taiwan dan Filipina bagi membaiki keserasian dan kualiti permainan.
Tian Hock turut memaklumkan bahawa habuan istimewa menanti skuad kebangsaan sekiranya sasaran dua pingat itu berjaya direalisasikan.
"Saya akan umumkan insentif untuk pemain pada Rabu depan," katanya.
