Yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma, pingat emas Sukan SEA Thailand pertama buat kontinjen terjun negara muncul selepas dua hari yang mengecewakan di Samut Prakan.
Ia menerusi acara platform seirama wanita yang diungguli Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj, 20 tahun, dan Nurul Farisya Alia Affendi, 15 tahun.
Advertisement
Bagi Nur Eilisha Rania, satu kelegaan buat dirinya apabila dapat memecah kebuntuan emas kem terjun untuk edisi kali ini, termasuk cabaran yang dihadapi dalam membantu Nurul Farisya Alia menghadapi Sukan SEA Thailand yang merupakan penampilan pertamanya.
"Cabaran saya agak tinggi memandangkan saya mempunyai banyak pengalaman dalam kejohanan dan pasangan tidak.
"Saya perlu pastikan gandingan saya tidak begitu gugup dan tidak terbawa-bawa.
"Kami juga bertuah memiliki jurulatih sepertinya (Ooi Tze Liang)," katanya.
Sementara itu, pengalaman pertamanya di pentas temasya dwitahunan itu memberi satu makna terbaik di peringkat awal karier Nurul Farisya Alia yang menginginkan kejayaan ini melonjakkan lagi moral bagi menghadapi musim 2026.
"Saya bangga dengan diri sendiri untuk sumbangkan emas kepada Malaysia.
"Saya gembira dengan hasil kerja keras yang perlu diharungi setiap hari ini," katanya pula.