Jaguh berbasikal trek dunia, Datuk Azizulhasni Awang, menunggu kata putus Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung khidmatnya masih diperlukan menuju temasya Sukan Olimpik 2028 atau sebaliknya.
Pemenang pingat emas keirin Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu sedang menanti pendirian semua pihak mengenai masa depannya dan bakal memutuskan jawapan sebelum terbang ke Jepun bagi mengharungi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya bermula 19 September hadapan.
Pasca kejayaan The Pocket Rocketman itu menggondol emas keirin Sukan Komanwel pada usia 38 tahun itu mencerminkan aura dan pesona luar biasa atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Atas dasar itu, majoriti pendapat mahu Jijo kekal bersama skuad negara dan meneruskan legasi gemilangnya di pentas tertinggi dunia.
Persoalannya, apakah skuad negara benar-benar perlukan kudrat dan keringat Azizul dalam tempoh kitaran Olimpik di Los Angeles nanti.
Jika benar khidmat Azizul masih diperlukan, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dalam pertemuan merangkumi semua aspek.
"Itu yang perlu dibincangkan kerana untuk kelayakan ke Sukan Olimpik seterusnya sangat rumit, banyak kejohanan kelas satu dan dua perlu sertai, Kejohanan Dunia juga di Kanada jadi banyak perkara perlu diperbincangkan, kerana saya perlu buat keputusan sebelum Sukan Asia, jika mahu meneruskan," katanya.
Buat masa ini, Azizul kekal dengan perancangannya menjadikan Sukan Asia Aichi-Nagoya sebagai pentas perpisahannya daripada pentas elit.
Seandainya terdapat sebarang permohonan untuk kekal menabur bakti bagi tempoh 2 tahun lagi, keputusan tersebut harus dilakukan sebelum temasya Sukan Asia 2026 membuka tirainya.
"Bukan mengenai saya mahu ke Sukan Olimpik tetapi kerana kelayakan sangat rumit, perkara teknikal serahkan kepada mereka, saya percaya sekarang bukan mengenai saya mahu ke Los Angeles atau tidak, tetapi adakah Malaysia memerlukan saya atau tidak untuk ke sana.
"Jika Malaysia memerlukan saya, saya boleh merancang terlebih dahulu. Ada kejohanan dunia, kejohanan benua selain kejohanan kelas satu dan dua, sangat kritikal, tiada masa jadi perlu buat keputusan. Jika tidak selepas Sukan Asia saya gembira untuk bersara, secara jujurnya mahu gantung basikal hari ini juga." tambahnya.