Pengorbanan mengenepikan sementara pengajian dan kerjaya demi tumpuan penuh kepada latihan membuahkan hasil apabila hari ini skuad lawan pedang negara membutirkan pingat perak foil berpasukan lelaki Sukan SEA Thailand.
Cheng Xing Han, Kaerlan Vinod, Saif Nordin dan Heng Yu Shern membuat kejutan mara ke final sebelum tewas kepada lawan dari Singapura 20-45 dalam penentuan emas di Island Fashion Mall Bangkok.
Advertisement
"Kami semua terdiri daripada pelajar dan kami berusaha keras sejak dalam beberapa bulan lalu," kata Xing Han.
Tambah Kaerlan: "Singapura mempunyai pengalaman yang luas dan lebih serasi kerana menyertai banyak kejohanan utama dunia.
"Apa pun, kami beraksi baik dan ini kali pertama kami berjuang bersama-sama.
"Kami juga berhempas-pulas di peringkat separuh akhir."
Untuk rekod, skuad lawan pedang negara merangkul empat gangsa dalam edisi 2023 di Kemboja selepas membawa pulang satu perak dan tiga gangsa di Hanoi edisi 2021.
Kali terakhir Malaysia memenangi emas adalah dalam edisi 2011 di Indonesia menerusi acara sabre berpasukan lelaki dibarisi trio Radhi Hasim, Yu Peng Kean dan Liong Ming Chan, manakala Joshua Koh turut menyumbang emas epee individu lelaki.