Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bangkit penuh gemilang untuk mencatatkan kemenangan pertama dalam Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF dengan menewaskan wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, di Hangzhou, China sebentar tadi.
Turun sebagai pilihan kedua, gandingan negara itu menguasai awal set pembukaan tetapi dipintas pada penghujung permainan untuk akur tewas 22-24.
Advertisement
Bagaimanapun, mereka mula mendapatkan rentak sebenar pada pertengahan set kedua bagi mengheret permainan ke set penentuan hasil kemenangan 21-18.
Aaron dan Wooi Yik sekali lagi ketinggalan pada awal set ketiga tetapi sedikit demi sedikit, mereka mula mengejar mata lawan untuk menyamakan kedudukan 16-16 sebelum menang 21-19 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam dan 23 minit.