Sukan SEA Thailand 2025 secara rasminya membuka tirai di Stadium Rajamangala, Bangkok hari ini dengan antara kelainan yang ditampilkan adalah pemilihan maskot yang bukan datangnya dari haiwan yang menjadi simbolik negara penganjur.
Menampilkan maskot yang diberi nama The Sans, ia diinspirasikan daripada garisan dan struktur anyaman tradisional Thai yang pelbagai, maka tidak hairanlah, pada asalnya terdapat 7 watak dengan warna yang berlainan, yang menjadi simbolik kepada 7 hari dalam seminggu.
Advertisement
Namun konsep ini berhadapan perubahan apabila peralihan kerajaan berlaku pada Oktober lalu dimana Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Atthakorn Sirilatthayakorn, mahukan maskot yang lebih mudah diingati dengan ciri-ciri Thailand yang lebih jelas.
Maka, terhasilnya The Sans versi baharu dimana watak Chan yang berwarna kuning diubah kepada kombinasi warna bendera Thailand iaitu biru, merah dan putih untuk diangkat sebagai maskot utama temasya ini.
The Sans versi baharu ini meneruskan objektif utama penganjuran iaitu perpaduan dan persahabatan dalam sukan serta menjadi penyeri kepada acara-acara rasmi termasuk upacara penyampaian pingat di venue-venue pertandingan.
Bagaimanapun versi 7 warna berbeza dengan antaranya dinamakan Put, Suk dan Angkran tidak terus diketepikan dan tetap boleh didapati dalam bentuk cenderamata rasmi bagi sukan SEA edisi ke-33 ini.
Jika pada penganjuran terakhir pada 2007 Thailand memilih Kucing Korat dan beralih kepada sesuatu yang lebih berseni tradisional pada 2025, bagaimana pula dengan Malaysia yang bakal menganjurkan Sukan SEA 2027 sekiranya tidak menggunakan harimau sebagai maskot lagi?
