"Saya dah macam orang gila nyanyi dan bercakap seorang diri."
Begitulah situasi yang sempat dikongsikan pemenang pingat perak lompat kijang negara dalam Sukan SEA Thailand, Andre Anura Anuar, untuk menggambarkan situasinya kurangkan tekanan dalam sasaran memburu hatrik pingat emas di Bangkok, petang tadi.
Advertisement
Pendekatan itu berhasil, namun tiada siapa menyangka peserta dari Vietnam, Ho Trung Manh Hung, membuat lompatan terbaik bagi mengatasi Andre Anura yang -- melakar catatan 16.29 meter -- terpaksa berpuas hati dengan perak apabila dibezakan 0.04 meter.
Atlet kelahiran Sabah itu tidak menolak tekanan yang dirasainya tatkala dia meletakkan harapan besar untuk mencipta emas hatrik.
"Selepas peserta Singapura melakukan lompatan pertama sejauh 15.9 meter dan Thailand pula 16.0m, ia membuatkan peserta yang lain tertekan.
"Jadi saya cuba tenangkan diri, berjalan mundar-mandir dan banyak bercakap sendiri," katanya.
Ketika Andre menyasarkan Thailand dan Singapura sebagai saingannya, dia tidak menyangka pendekatan itu menawarkan ketenangan buat Manh Hung yang melakukan lompatan emas dalam percubaan terakhirnya dengan catatan 16.33m.
"Saya gagal mempertahankan kejuaraan sejak era Hakimi Ismail (2015) dan (lengkapkan) hatrik emas buat saya.
"Saya terkilan tapi saya dapat mencapai semula lompatan 16m," katanya.