Pemenang emas Sukan Paralimpik Tokyo dan Paris kategori SU5 (kecacatan fizikal), Cheah Liek Hou, kekal positif dengan gandingan baru bersama Faris Azri kerana gandingan beregunya mempamerkan keyakinan tinggi dan usaha keras dalam sesi latihan.
Dia mengakui masih bergelut mencari rentak dan keserasian bersama Faris Azri, malah Liek Hou sedar ianya memerlukan masa lebih lama.
Advertisement
"Saya berasa memang sangat kecewa kerana kami sangat serasi, saya ada keserasian dengan Fareez Anuar untuk beregu, dia boleh bantu saya selain memahami apa yang saya mahukan.
"Sangat serasi, dalam banyak gandingan saya gemar beregu bersama Fareez Anuar," katanya.
Paralimpian berusia 37 tahun itu kini fokus bagi menyesuaikan diri dengan keadaan angin di sekitar gelanggang dalam sesi latihan yang dijalaninya ketika ini.
Perkara itu susulan keadaan gelanggang di Korat, Thailand yang berangin bakal menjadi cabaran utama kepada pemain negara sekiranya tidak dapat menyesuaikan diri pada peringkat awal saingan.
"Dalam teknik kami fokus kepada latihan umpama perlawanan yang ada cabaran angin, kami buat latihan dalam keadaan yang ada cabaran angin.
"Kami semua tahu stadium di Korat itu angin dia memang angin sangat kuat, kami pernah beraksi di sana Ketika Sukan Para Asia sebelum ini." katanya.