Kem berbasikal trek negara menetapkan sasaran dua pingat tanpa mengira warna dalam Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, yakin kemampuan skuad negara menyumbang pingat sambil sasaran itu dibuat bagi mengelakkan tekanan berlebihan ke atas atlet.
Dua pingat realistik diraih menerusi penampilan Nurul Izzah Izzati Asri dalam acara 1km ujian masa wanita serta Datuk Azizulhasni Awang mahupun Shah Firdaus Sahrom bagi acara keirin lelaki.
"Kami meletakkan sasaran medal ke atas Nurul Izzah untuk acara ujian masa 1km dan satu medal daripada (kontinjen) lelaki.
"(Jadi) dua medal dan kem berbasikal trek ketika ini di landasan tepat dan (situasi) tenang, itu yang penting.
"Atlet di tahap terbaik dan tiada kecederaan yang perlu dikhuatiri," katanya.
Dalam pada itu, PKBM memilih Kazakhstan sebagai rakan strategik baru menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan berbasikal negara.
Kerjasama tanpa tempoh tamat itu membuka lebih banyak peluang latihan dan penyertaan kejohanan, khususnya buat atlet pelapis dalam acara lebuh raya dengan kumpulan pertama dijangka ke sana seawal penghujung tahun ini.