Memasuki minggu terakhir Piala Dunia 2026, kejohanan bola sepak paling berprestij dunia ini sudah boleh dilabel sebagai berjaya disebalik kontroversi demi kontroversi yang timbul sejak sebelum penganjuran bermula lagi.
Antara perkara yang menjadi perdebatan sebelum ini adalah keputusan FIFA menambah kepada 48 pasukan bertanding, menjadikan penganjuran kali ini sebagai Piala Dunia terbesar dalam sejarah.
Ada yang berpandangan Piala Dunia sepatutnya bersifat selektif dan sukar ditembusi. Ada pula yang merasakan penawaran lebih banyak pesaing mampu meningkatkan kualiti kejohanan secara keseluruhan.
Sebenarnya kedua-dua kenyataan ini ada benarnya.
Bagaimanapun kita semua tidak boleh menolak fakta bahawa kehadiran 48 pasukan kali ini telah berjaya memenangi hati seluruh dunia.
Lihat sahaja penampilan sulung Cape Verde yang cukup membanggakan sehingga lolos ke pusingan kalah mati.
Begitu juga negara terkecil, Curacao yang menampilkan semangat juang tinggi dan keterujaan mereka menentang pasukan gergasi dunia.
Semua ini pastinya sukar untuk kita saksikan di pentas Piala Dunia tanpa format yang diperluas seperti sekarang.
Presiden FIFA, Gianni Infantino sedia maklum mengenai impak positif yang berlaku dan dia dilaporkan tidak keberatan untuk mempertimbangkan penyertaan lebih banyak negara selepas ini.
Bayangkan penambahbaikan format ini kelak mampu memberi manfaat kepada negara-negara Asia. Siapa tahu Malaysia boleh mendapat tempias daripadanya juga.
Namun, sebelum terus menanam impian, persoalan mengenai format ini semestinya perlu mendapat sokongan hos bersama pada 2030 iaitu Portugal, Sepanyol dan Maghribi juga.
Menariknya, penganjuran itu nanti akan turut membabitkan lokasi di luar ketiga-tiga negara ini apabila tiga perlawanan pertama akan berlangsung di Argentina, Uruguay dan Paraguay bagi menandakan 100 tahun sejak edisi pertama Piala Dunia di Uruguay.
CONMEBOL, badan pentadbir bola sepak Amerika Selatan, antara yang mencadangkan Piala Dunia 2030 menampilkan 64 pasukan agar ulang tahun ke-100 itu nanti berlangsung lebih gah dan penuh sejarah.
Bagaimanapun cadangan ini masih di peringkat awal. Kita nantikan keputusan FIFA samada kekal dengan 48 pasukan atau menambah kepada 64 pasukan. Silap hari bulan boleh kembali dipertandingkan oleh 32 pasukan sahaja.