Sukan luncur ombak negara akhirnya bakal dihiasi penyertaan atlet di Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, sekali gus menandakan penampilan sulung wakil Malaysia dalam acara berprestij itu.
Atlet negara, Qadeja Munirah Musaddiq, tidak menyangka perjalanan hidupnya yang bermula seawal usia enam tahun dengan papan luncur akhirnya membuka peluang ke pentas Asia dalam kategori papan pendek.
Advertisement
Kelayakan itu diraih secara merit menerusi Asian Surfing Championship 2025 yang berlangsung di India, Ogos tahun lalu.
"Saya sangat bersyukur dapat mewakili Malaysia, kata Qadeja.
Menurutnya, perjalanan ke tahap ini bukan sesuatu yang mudah.
"Perjalanan saya agak susah. Dulu orang luar tak tahu pun ada sukan air di Malaysia. Nak sampai ke tahap sekarang memang ada banyak cabaran,” ujarnya.
Turut menyertai Qadeja ke Nagoya adalah atlet berdarah Malaysia-Jerman, Lucas Santiago Wehle, yang juga layak secara merit menerusi kejohanan sama di India.
Jurulatih luncur ombak negara, Muhammad Muttakin Talib, menyifatkan pencapaian itu sebagai detik bersejarah buat sukan tersebut.
"Syukur luncur ombak pertama kali dapat lulus ke Sukan Asia 2026. Mereka yang bertanding di India kelmarin telah menunjukkan aksi yang bagus,"
katanya.
Beliau menegaskan pasukan negara sudah membuktikan kemampuan sebenar.
"Pasukan yang dihantar di India sudah buktikan Malaysia mampu bersaing dengan negara yang dah lama dalam sukan ini seperti Indonesia, Thailand dan Jepun." jelasnya.
Muttakin optimis dengan potensi anak buahnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya nanti.
"Dan saya akan pastikan atlet yang kami pilih akan beri yang terbaik untuk buktikan Malaysia ada peluang dapatkan pingat sana nanti." tegasnya.