Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, yakin kewujudan "Home of Sepak Takraw" di Stadium Titiwangsa menjadi sangat signifikan kerana menyediakan platform latihan yang sistematik, tersusun dan berfokus kepada prestasi tinggi.
Selain itu, venue itu akan menjadi pusat latihan bagi pasukan sepak takraw Wilayah Persekutuan untuk persediaan Sukan Malaysia (Sukma) yang akan membuka tirai pada Ogos 2026.
Advertisement
Penambahbaikan yang akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencecah nilai RM80,000 untuk Stadium Titiwangsa merangkumi lukisan mural di dinding, mengecat dinding bangunan hadapan, papan markah yang ditukar kepada LED, ruang orang kenamaan di tingkat 1, surau, bilik media, kelengkapan peralatan sepak takraw dan bilik persalinan pemain serta mesyuarat.
"Stadium Titiwangsa merupakan satu-satunya stadium tertutup milik DBKL yang menjadi tumpuan kepada agensi kerajaan, swasta, sekolah serta badan bukan kerajaan untuk program sukan.
"Susulan kecemerlangan sepak takraw negara di pentas antarabangsa tahun lalu, Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL bersetuju untuk jadikan Stadium Titiwingsa sebagai Home of Sepak Takraw.
"Stadium ini akan dijadikan lebih profesional untuk penganjuran Piala Dunia.
"Hasrat saya untuk menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja sebagai sebuah bandaraya yang selamat dan sihat, malah menjadi tempat dalam soal semangat kecemerlangan agar generasi muda mempunyai keyakinan," katanya.