Bagaikan deja vu buat Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam kempen Super Schools Rugby (SSR) kategori premier selepas sekali lagi kecundang di peringkat yang sama iaitu dalam aksi wildcard, dengan kegagalan menyempurnakan conversion saat-saat akhir menjadi mimpi ngeri SMSS.
Dalam aksi wildcard penuh drama itu menyaksikan, Victoria Institution (VI) tampil garang dengan tiga try awal hasil larian cemerlang Indra Putra, Rafif Zaeem dan Noor Ayril Isqandar yang memberikan kelebihan besar buat VI, sekali gus meletakkan SMSS bergelut untuk mencari momentum kebangkitan di Ibu Kota, sebentar tadi.
Namun, semangat juang SMSS tidak luntur apabila merapatkan kedudukan hingga saat akhir permainan, sebelum peluang keemasan conversion penting gagal disempurnakan, secara tidak langsung kemenangan memihak 19-17.
"Skrip seperti perlawanan terakhir berulang. Kami kalah tipis apabila melepaskan peluang conversion pada saat-saat akhir permainan dan ini kali ketiga kami kalah sebegini," kata ketua jurulatih ragbi SMSS, Hafiy Syazwi Sajali.
Sementara itu, dalam kem finalis musim lalu, skuad Blues menyifatkan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama daripada segi kecergasan fizikal.
Kepincangan elemen ini jelas terpancar dalam permainan VI, mujur SMSS gagal melunaskan kelebihan yang dimiliki di penghujung permainan.
Hasil kemenangan ini, VI menempah perhitungan bertemu Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dalam suku akhir.
"Kami kena terapkan membina kekuatan fizikal. Kami bergelut dalam separuh masa pertama lalu pertahanan kami bocor.
"Jadi kami perlu perbetulkannya dalam tempoh rehat sebulan ini," kata ketua jurulatih ragbi VI, Rozhan Yahya.