Kurang 24 jam menuju aksi 'wildcard' pusingan kalah mati Super Schools Rugby (SSR) 2026 bagi kategori Premier, yang bakal menyaksikan pertembungan di antara Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) dan Kolej Yayasan Saad (KYS) petang esok.
Pelbagai faktor diambil kira menjelang pertemuan getir itu, termasuk keadaan cuaca memandangkan venue kejohanan di Padang SAS, Putrajaya dilanda hujan lebat sehari sebelum saingan bermula.
Selain aspek taktikal, SAS nekad memastikan usaha keras serta persiapan panjang mereka bagi kempen SSR kali ini tidak berakhir dengan penyingkiran awal.
Sebaliknya, mereka menganggap cabaran beraksi dalam keadaan cuaca tidak menentu sebagai satu ujian mental buat pemain.
Edisi lalu menyaksikan perjuangan SAS terhenti dalam pusingan 16 selepas tumpas kepada juara bertahan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau.
Kini, skuad kendalian Piza Yahya itu sudah bersiap siaga untuk berentap dengan KYS demi menempah slot ke suku akhir bagi bertemu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR)
Piza berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Kami mengambil berat mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu ini, ada panas dan ada hujan, jadi kami bersedia untuk sebarang kemungkinan.
"Semua itu tidak boleh dijadikan alasan kerana kami akan bermain semua keadaan cuaca kecuali kilat, yang mungkin mengakibatkan kami tidak dapat bermain.
"Saya menganggapnya (keadaan cuaca) sebagai satu cabaran untuk kami kekal tenang dan fokus untuk mendapatkan kemenangan yang kami perlukan esok."