"Sepatutnya 100 tahun FAM diraikan dengan perlawanan besar, bukan dengan pemulihan”
Demikian luahan kecewa bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Christopher Raj, terhadap situasi semasa badan induk itu susulan peletakan jawatan kolektif barisan exco baru-baru ini.
Advertisement
Ia menyaksikan bukan pesta bola sepak yang dinantikan, sebaliknya proses muhasabah iaitu menilai kelemahan urus tadbir demi menyelamatkan maruah bola sepak negara untuk 100 tahun mendatang.
"Ini merupakan satu momen terbaik untuk reformasi FAM, dalam pemulihan ini boleh tentukan hala tuju bola sepak negara untuk 100 tahun atau 50 tahun akan datang.
"Ini menyedihkahkan, sepatutnya tahun ini mungkin menukar jenama, visi atau misi persatuan serta sebaliknya.
"Mungkin beraksi lawan Jepun atau Korea Selatan, satu perlawanan besar di SNBJ. Tetapi dengan apa yang berlaku sekarang saya tidak berasakan keraian ini akan berlaku kerana FAM berada dalam fasa pemulihan,' katanya.
Badan induk bola sepak negara itu akan menyambut ulang tahun ke-100 pada September ini, kini berada dalam fasa pemulihan menyeluruh daripada segi urus tadbir dengan bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Langkah tu diambil bagi mengelak campur tangan lebih tegas daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan isu kelemahan urus tadbir yang melibatkan pemalsuan dokumen tujuh pemain.
Mereka kini kembali beraksi susulan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan penangguhan sementara terhadap hukuman mereka.
Namun, masa depan tujuh pemain itu akan diputuskan pada persidangan rayuan 'CAS' pada 26 Februari ini.
"Saya tahu beberapa rakan exco tidak mahu letak jawatan kerana berasakan mereka tak bersalah, tetapi demi bola sepak negara keputusan perlu dibuat.
"Jika tidak letak jawatan secara kolektif akan mengundang Tindakan FIFA. Dengan peletakan jawatan ini dapat beri ruang buat AFC perbetul keadaan dan tidak menerima akibat daripada FIFA berkaitan penggantungan." tambahnya.