Rayqal Hakimi Rosli melakar sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat emas sulung buat Kelantan dalam Sukma Selangor 2026 apabila mengungguli acara judo kategori B-73kg di IDCC Shah Alam hari ini.
Dalam aksi final itu, atlet berusia 16 tahun berkenaan menewaskan pencabar dari Terengganu, Muhammad Firhan Iman Faizal, menerusi ippon atau mata penuh.
Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor itu turut berkongsi bahawa dia mula mengenali sukan judo ketika berusia 13 tahun dan memasang impian untuk mewakili negara suatu hari nanti.
"Saya agak terkejut kerana tidak jangka akan menang dalam final," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Sebelum ini dalam Kejohanan Kebangsaan, saya sampai final tetapi tidak dapat menggenggam emas.
"Ini adalah permulaan yang baik buat sukan judo Kelantan, khususnya buat atlet remaja.
"Emas Sukma ini, setakat ini merupakan pencapaian terbesar buat saya."