Skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun (B-17) akan menghadapi kempen Piala Srikandi Merdeka 2026 yang akan berlangsung di Kudus, Indonesia bermula esok hingga 23 Ogos ini.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, selain Hong Kong dan Arab Saudi. Hanya dua pasukan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 21 Ogos, sebelum pentas final pada 23 Ogos menentukan juara.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan senarai akhir 22 pemain yang diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Fairuz Montana Zainal Abidin, yang akan mewakili pelapis Malayan Tigress.
Paling mencuri tumpuan, empat tonggak berdarah campuran yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Lim You, 14, antara pemain termuda bersedia menjadi taruhan selain Isabella O’luanaigh (cucu kepada chef terkemuka, Chef Wan).
Dishanna Nagarajan Pillay yang beraksi untuk Vancouver United dan Sofia Jeanne Lacasse yang berkelana di Washington dengan masing-masing berusia 16 tahun berpotensi menjadi tunjang utama pasukan.