Bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan, akui memikul tanggungjawab cukup besar selepas dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-19 negara bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Laos, hujung bulan ini.
Shukor, yang sebelum ini membimbing skuad B-17 negara, memberi jaminan akan mencuba sedaya upaya membentuk pasukan mantap bagi mengharungi cabaran Kumpulan H, yang turut menempatkan Australia, Indonesia dan tuan rumah, Laos.
Seramai 23 pemain dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat fasa 1 dari semalam hingga 23 Ogos ini, sebelum fasa 2 bersambung sebaik selesai Sukma Selangor 2026.
Hanya lapan juara kumpulan dan tujuh pasukan di kedudukan kedua terbaik selain tuan rumah, China, akan layak ke Piala Asia B-20 pada Mac 2027.
"Ini adalah satu tanggungjawab yang amat besar untuk saya melatih skuad B-19 tahun ini bagi menggantikan jurulatih Nafuzi (Zain)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Bagi saya, ini adalah satu cabaran dan saya akan pastikan saya dan staf kejurulatihan lain akan memberikan komitmen terbaik untuk pasukan ini.
"Kalau ada pemain yang menunjukkan kebolehan dan keinginan untuk mewakili negara dalam fasa 1 ini, mungkin mereka akan terpilih tetapi kita perlu melihat juga masalah pertindihan jadual dengan Sukma, saya rasa ia tetap perlu diteruskan.
"Kerana dengan pelantikan saat akhir ini, saya perlu mengenal pasti setiap pemain yang sesuai dengan gaya permainan saya.
"Ini adalah cabaran yang agak sukar dalam kumpulan yang agak tegap tetapi ia bukan satu alasan.
"Alang-alang saya sudah mengambil alih pasukan ini, biarlah kita layak ke Piala Asia."