Rio Ferdinand mendedahkan pengalaman mengejutkan ketika bersama Queens Park Rangers (QPR), termasuk mendengar pemain bercakap secara terbuka mengenai gaji dan enggan memberikan komitmen penuh dalam sesi latihan.
Bekas pertahanan Manchester United itu membuat pendedahan berkenaan ketika berbual bersama Jamie Carragher.
Menurut Ferdinand, situasi tersebut amat berbeza daripada budaya yang pernah dialaminya sepanjang karier, khususnya ketika bersama Manchester United.
“Ini kali pertama saya berada dalam bilik persalinan dan mendengar orang bercakap mengenai duit, gaji.”
Carragher kemudian secara berseloroh mencelah: “Sebab itu kamu pergi ke sana, kan?”
Ferdinand mengakui dia turut terkejut apabila mendengar ada pemain seolah-olah tidak mengambil serius soal latihan.
“Saya tanya mereka, ‘Kamu tak berlatih ke?’
“Mereka jawab, ‘Tak. Saya dapat GBP60,000 (RM300,000) seminggu, saya tak peduli.’”
Menurut Ferdinand, perbualan seperti itu bukan berlaku sekali, malah menjadi sesuatu yang dapat didengarinya dalam persekitaran pasukan.
“Saya berada di sana dan fikir, ‘Saya langsung tak faham situasi ini. Sukar untuk mempercayainya,’” katanya.
Lebih membimbangkan, Ferdinand mendakwa terdapat pemain yang tidak menjalani latihan atau hanya berlatih mengikut kemahuan sendiri.
“Pemain tidak berlatih, berlatih apabila mereka mahu. Intensiti juga tidak begitu tinggi,” katanya.
Ferdinand turut menyentuh usaha Harry Redknapp yang ketika itu mengendalikan QPR untuk mengubah keadaan dalam pasukan.
Namun, menurutnya, usaha pengurus tersebut tidak mendapat sambutan yang diharapkan daripada pemain.
“Apa sahaja yang Harry cuba lakukan, seolah-olah pemain tidak menerimanya. Mereka memang tidak mahu mengikutnya.”
Situasi tersebut akhirnya menyumbang kepada musim yang mengecewakan buat QPR apabila kelab itu tersingkir dari Liga Perdana Inggeris.
Ferdinand menyertai QPR pada musim 2014/15 selepas meninggalkan Manchester United, tetapi hanya menghabiskan satu musim bersama kelab London itu sebelum bersara pada penghujung musim.
Pendedahan tersebut kembali mencetuskan perdebatan mengenai budaya profesional, struktur gaji dan tahap komitmen pemain dalam bola sepak moden.
Bagi Ferdinand, persoalannya bukan sekadar berapa jumlah gaji yang diterima seseorang pemain, tetapi sama ada wang tersebut datang bersama tanggungjawab untuk memberikan yang terbaik kepada kelab.