Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Nidzam Jamil, tidak mahu terus dibelenggu dengan episod bolos saat akhir sebaliknya menjadikan keputusan tewas tipis kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) malam tadi sebagai pelajaran berguna untuk masa akan datang.
Meskipun pahit untuk ditelan, jurulatih berusia 45 tahun itu berkongsikan kualiti yang dimiliki barisan pemain Harimau Selatan sepanjang 90 minit permainan termasuk pemain di bangku simpanan menjadi faktor pasukannya bergelut.
Advertisement
"Bola sepak di tahap tertinggi perlukan konsentrasi terbaik dalam setiap minit. Pada masa ini, ini perbezaan kami dengan JDT. Perkembangan mereka cukup dengan pada minit ke-90, jika kami tidak melaluinya kami akan terdedah dengan jaringan.
"Pahit nak telan, tetapi kami perlu belajar untuk lebih dewasa dalam liga ini. Saya tidak pegang wisel, saya tidak pasti kenapa tujuh minit jadi lapan sembilan atau 10 minit. Mungkin jam tangan masing-masing berlainan. Kami perlu kekal positif.
"Bukan isu sembilan atau 10 minit, isunya kami kena kekal fokus. Kami tidak boleh kawal pengadil. Pahit tetapi kami belajar dengan JDT."
"Kerana keletihan dalam babak pertama, disebabkan kualiti pasukan lawan, keluar Syahmi masuk Feroz dan kualiti import, kualiti sepanjang 90 minit buatkan kami bergelut dengan tempo perlawanan." katanya.
Untuk rekod, The Jang kini berada di tangga keenam dalam carta Liga Super 2025/26 dengan 17 mata, dan akan berdepan Selangor dalam aksi seterusnya nanti.