Daripada kena gantung, baik perbaiki diri.
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Dr. Zulakbal Abdul Karim, menggesa semua pihak jangan cepat melatah andai benar peletakan jawatan berjemaah berlaku di kalangan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Advertisement
Ini adalah salah satu usaha 'try and error' daripada badan induk itu untuk mengurangkan risiko kesan daripada isu seantero dunia membabitkan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
"Jadi, apabila AFC akan mengambil alih dengan dikatakan exco FAM akan beramai-ramai meletakkan jawatan, saya beranggapan kita tidak perlu panik.
"Kita harus melihat itu sebagai ruang penambahbaikan buat FAM untuk memperbaiki diri dengan bantuan AFC.
"AFC akan masuk dan mencari di manakah silapnya untuk diperbaiki.
"Maka, itu adalah lebih baik berbanding digantung FIFA," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Tegas Zulakbal, tiada istilah tenggelamnya kapal FAM, ketika keberadaan wakil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebenarnya bersifat ingin membantu.
"Saya mempercayai AFC takkan membiarkan kita mati keseorangan.
"Mereka sebenarnya ingin membantu oleh kerana kesilapan kita sendiri.
"Saya pasti impak pasti ada. Tapi, saya yakin AFC takkan jadi seolah-olah hilang tujuan.
"Dia akan membantu. Cuma, saya bimbang banyak penaja tarik diri," katanya lagi.
Jika benar perkara itu berlaku, FAM bakal membawa budaya yang sihat, merujuk kepada kesanggupan untuk berundur demi kelangsungan bola sepak yang lebih baik selepas ini.
"Saya percaya ini budaya baru dalam negara di mana seolah-olah exco FAM harus bertanggungjawab tentang apa yang berlaku.
"Di Jepun, silap sedikit ramai-ramai akan letak jawatan.
"Jika berlaku di negara kita, ini permulaan baru buat kita.
"Kalau tidak betul, maka bertanggungjawablah," tambahnya.