Pingat gangsa dalam Sukan Para Asia Kuala Lumpur pada 2004 mengangkat nama bekas atlet badminton kerusi roda negara, Abdul Halim Said.
Bagaimanapun, beliau kini terpaksa berundur dari arena sukan dan mencari jalan alternatif apabila sukan tidak lagi mampu menjana pendapatan.
Advertisement
Projek Ramadan Nadi Arena, yang dibawakan oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bersama penaja utama, DonFeng Cars Malaysia daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), menyantuni dan menyelami kisah hidup wira para negara ini.
Detik hitam yang menimpa Abdul Halim ketika terlibat dalam satu kemalangan jalanraya sewaktu berusia 24 tahun pada 1997 membuka lembaran hidup baru buatnya untuk bergelar atlet badminton kerusi roda negara.
Tujuh tahun kemudian, dia berada di puncak kerjaya apabila berhasil membawa pulang pingat gangsa dalam Sukan Para Asia Kuala Lumpur.
Namun, dia terpaksa meninggalkan kerjaya itu apabila dunia sukan sudah tidak lagi mampu menjana pendapatan hariannya.
Berbekalkan kemahiran membaiki motosikal, dia membina semula hidupnya biarpun hanya dengan keuntungan kecil dan bermusim.
"Bagi saya hidup perlu diteruskan untuk bertahan seperti biasa," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Kalau nak ikutkan sedih memang sedih, memang saya tidak nafikan. Tahun pertama dan kedua memang saya terasa.
"Saya fikir yang saya hanya ada kemahiran dalam bidang enjin, jadi saya mulakan semula kerja-kerja bengkel.
"Tetapi apa yang saya buat tidak seberat seperti yang boleh dilakukan di kedai.
"Pendapatan juga tidaklah banyak kerana ia bermusim."