Skip to main content

Berbasikal

Projek Ramadan: Bekas pelumba basikal wanita negara masih kesal selepas 43 tahun berlalu

Diljan

Nadi Arena meneruskan Projek Ramadan yang dibawakan oleh Dong Feng Cars Malaysia dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bertemu bekas pelumba utama berbasikal negara, Diljan Mushal Khan.

Di kala kayuhannya mula mengangkat nama selaku sandaran terbaik, konflik keamanan luar negara perlahan-lahan meranapkan impian.

Advertisement

Keutamaan diberikan kepada pelumba lelaki yang akhirnya membuatkan Diljan berjauh hati lalu meninggalkan arena berbasikal.

Nama Diljan Mushal Khan pernah mengisi lembaran awal sejarah sukan berbasikal wanita negara pada era 80-an — antara kelompok pertama yang berani memecah dominasi dan membuktikan wanita juga mampu menggegar laluan.

Namun, impian untuk terus mengayuh lebih jauh terhenti bukan kerana kudratnya habis, tetapi kerana jurang kesaksamaan jantina yang ketara.

"Kejohanan Berbasikal ASEAN merupakan perkara yang paling tidak dilupakan.

"Ia, merupakan kali pertama saya ke luar negara.

"Saya berasa gembira mewakili Malaysia. Ada dua atlet sahaja terpilih dan saya salah seorang.

"Pada 1983 saya tidak menyertai kejohanan luar negara atas alasan tidak diberi pelepasan ekoran negara tersebut mengalami rusuhan.

"Dua tahun selepas itu, saya sekali lagi tidak dipilih atas alasan negara luar tiada peserta wanita.

"Pada 1984, saya mula berputus asa.

"Pelumba lelaki mendapat keistimewaan. Jadi semua dapat pergi.

"Kami yang wanita tidak dapat mengikuti," luahnya kepada delegasi Projek Ramadan Astro Arena.

Perasaan hiba itu berterusan tatkala masalah lutut pula meragut nikmat kesihatannya.

Daripada pelumba yang pernah membelah angin, kini hanya tinggal kenangan tentang laluan yang tidak pernah diberi peluang untuk mewarnai kariernya.

"Masalah paling ketara sekarang ini kedua-dua lutut saya sangat sakit.

"Sukar untuk berjalan.

"Kecederaan sewaktu berbasikal dahulu.

"Saya ingin sihat seperti dahulu. Saya juga ingin mengayuh basikal semula," katanya lagi.

Rombongan Projek Ramadan bersama Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) juga mengambil peluang menyantuni Diljan dan memberikan sumbangan.

"Atlet merupakan pejuang negara di arena antarabangsa.

"Mereka membawa nama negara untuk mengibarkan Jalur Gemilang, bukan untuk diri sendiri.

"Atlet merupakan sumber inspirasi buat semua," kata Ketua Setiausaha PEKEMA, Haslina Mohamed @ Kasby. 

Must Watch Video