Stadium MBPJ menerima sentuhan terbaik, demikian ulas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Zahri Samingon, ketika menyempurnakan majlis perasmian projek menaik taraf stadium itu hari ini.
Ia sejajar dengan mempersiapkan gelanggang itu untuk Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 dan juga rumah sementara Gergasi Merah menghadapi musim baru Liga Super sebelum Stadium Shah Alam yang baharu siap dibina.
"MBPJ menyokong penuh apa jua inisiatif, apa lagi menjadi gelanggang untuk Gergasi Merah sementara menunggu Stadium Shah Alam siap, lebih-lebih menjadi tuan rumah kepada Sukma.
"Pujian buat kontraktor yang memastikan trek ini cantik dan dalam keadaan terbaik.
"Ini satu imej yang baik buat MPBJ apabila adanya siaran langsung (untuk acara di sini)," katanya.
Sementara itu, tumpuan juga terarah kepada tempat duduk penyokong Stadium MPBJ yang sudah berbumbung itu pastinya memberi keselesaan sama buat penyokong tuan rumah mahupun pelawat.
Dan projek ini juga merupakan projek terakhir dirasmikan Zahri sebagai datuk bandar apabila akan meninggalkan kerusi panas itu bermula hari ini dan berharap legasi dicipta dapat diteruskan dan ditambah baik penggantinya.
"Kami santuni tetamu dengan menambah bumbung di tempat lawan dengan harapan penyokong pasukan lawan dapat melindungi hujan dan panas.
"Semoga apa yang disediakan dikembalikan kepada komuniti dan menjadi imej MBPJ," katanya.