Arena sukan negara digemparkan dengan kejayaan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib yang menjuarai gelaran Dunia Interim One Straw-Weight Muay Thai dengan menumbangkan Sam-A Gaiyanghadao dalam One Championship Bangkok, Thailand, minggu lalu.
Limpahan tumpuan utama tersebut turut dirasai seorang lagi petarung muay thai negara, Rifdean Masdor, yang turut mengikat kontrak bersama One Championship, secara tidak langsung menjadikan tiga wakil negara di pentas elit tersebut di samping Johan Ghazali.
Rifdean yang sudah menetap di Bangkok, Thailand sejak dua tahun lalu, memberi bayangan berjaya meraih perhatian petarung sensasi dari Jepun, Nadaka Yoshinari, bagi pertempuran eksklusif dalam masa terdekat.
"Saya inginkan pertarungan besar dan mana tahu dapat lawan Nadaka pada satu hari nanti, menang-kalah belakang cerita.
"Yang penting saya sang juara. Kalau menang saya nombor satu dan jika kalah, tak malu.
"Saya harap dapat memenangi gelaran pada satu hari nanti," katanya di Nadi Arena.
Jika benar dia ditawarkan perlawanan utama tersebut, petarung negara itu berpeluang mengikut jejak langlah Alif Rakib membawa pulang tali pinggang kejuaraan, atas dasar Nadaka merupakan juara dunia Atomweight.
Sejak memulakan langkah di pentas utama One Championship pada 2024, Rifdean sering kali berdepan stigma sebagai petarung kecil.
Akan tetapi, selepas menempuhi lapan perlawanan dalam One Championship — dengan rekod tujuh kemenangan dan satu kekalahan -- Rifdean membuktikan dirinya merupakan bintang baru dalam pembikinan.
Meskipun bertubuh kecil, namun jolokan 'The Headhunter' mencerminkan sisi pemusnah seorang petarung yang menantikan kelibat sang juara dunia, Nadaka di pentas utama dunia.
"Mungkin mereka nampak kelebihan yang kecil tak semestinya lemah.
"Gajah yang sebesar itu tapi harimau yang menjadi raja (rimba).
"Yang penting kita percaya kepada kecergasan dan teknikal sendiri," katanya.