Pemain import KL City, Nicolao Dumitru, mendedahkan dirinya masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik ketika diturunkan dalam aksi Piala Malaysia menentang Perak di Stadium KLFA Cheras, semalam.
Dalam temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui beliau masih dalam proses mendapatkan semula rentak permainan sepenuhnya, namun tetap bersedia menyahut kepercayaan jurulatih apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-79, menggantikan Gorka Larrucea bagi perlawanan pusingan 16.
Advertisement
Ditagih untuk memecah kebuntuan pertahanan Perak yang tampil dengan disiplin tinggi, Dumitru membuktikan sentuhan berbisa apabila menjaringkan gol kemenangan The City Boys pada masa tambahan, sekali gus memastikan slot suku akhir menjadi milik KL City.
"Saya masih lagi belum berada di tahap terbaik kerana baru sahaja pulih dari kecederaan. Saya sangat gembira membawa KL City ke suku akhir," katanya.
Gol berkenaan hadir selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat dalam tempoh 90 minit permainan.
Terdahulu, Safawi Rasid meletakkan KL City di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-56 sebelum kapten pasukan, Paulo Josue menjaringkan gol kedua pada minit ke-90 untuk menghidupkan peluang tuan rumah.
Walaupun akhirnya tewas, Perak FA wajar menerima pujian apabila tetap memberi cabaran sengit meskipun dibarisi rata-rata pemain muda yang mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan.