Bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, menegaskan tiada istilah ‘standby mode’ dalam menghadapi tugasan mencabar seperti Piala Hyundai ASEAN.
Ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Rajagobal menyifatkan semua pemain, termasuk barisan pemain simpanan, perlu sentiasa bersedia untuk beraksi kerana kehilangan pemain boleh berlaku pada bila-bila masa dalam sesebuah kejohanan.
Skuad negara menerima tamparan menjelang ujian getir menentang Vietnam untuk aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad ini.
Tonggak tengah, Wan Kuzain Wan Kamal, terpaksa pulang ke Amerika Syarikat atas persetujuan awal, sekali gus tidak dapat meneruskan baki perjuangan dalam kejohanan berkenaan.
Ia menambah cabaran buat pengendali, Tan Cheng Hoe, yang terlebih dahulu kehilangan dua pemain utama, Endrick dos Santos dan Jimmy Raymond, gara-gara kecederaan.
Perkara itu mengingatkan Rajagobal kepada cabaran yang dihadapinya pada 2010 sebelum membawa Harimau Malaya menjulang kejuaraan tunggal sehingga ke hari ini.
"Jurulatih sudah pasti lebih tahu bahawa kita perlu menerima perkara seperti kecederaan boleh berlaku dalam setiap perlawanan.
"Pasti akan ada pemain gantian dan cara yang akan digunakan untuk berdepan Vietnam kerana kita akan bermain tanpa tekanan.
"Kalau kita imbas kembali pada 2010. Apabila Amirulhadi (Zainal) digantung perlawanan kerana kad kuning, saya melakukan pertukaran (dalam final kedua) dengan memasukkan Ashari Samsudin dan dia bermain dengan baik dan memanfaatkan peluang yang diberikan," katanya.