Meskipun berdepan tekanan hebat dari pelbagai arah mengenai prestasi mereka, semangat jitu barisan pemain skuad kuadran negara membuahkan hasil apabila bergelar juara sulung kategori itu dalam Piala Dunia ISTAF di Stadium Titiwangsa semalam.
Kebangkitan itu terasa lebih manis kerana mereka hampir tersingkir di peringkat kumpulan sebelum bangkit memperkemas permainan dalam pusingan kalah mati.
Kemuncak prestasi luar biasa itu menyaksikan mereka sekali lagi menundukkan India di pentas final.
Bagi kapten skuad kuadran negara, Amirul Zazwan Amir, pencapaian itu adalah detik paling bermakna dalam kariernya kerana dapat membuktikan kemampuan pasukannya bergelar juara dunia.
"Syukur Alhamdulillah, kami berjaya jadi juara di tempat sendiri, itu adalah pengalaman paling manis dalam hidup saya.
"Secara peribadinya, saya rasa perjalanan skuad kuadran ini amat susah. Tahun lalu, taktik kami melakukan hadangan hanya dengan kaki.
"Tahun ini, saya kira kami hanya berlatih seminggu sahaja untuk melakukan hadangan dengan badan.
"Itu pun, kami ditekan habis-habisan oleh peminat dan pihak pengurusan, jadi saya rasa kami sudah melunaskan tugas dengan amat-amat baik."